comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemberian BKK Aidilfitri tanda kerajaan hargai penjawat awam – Cuepacs

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap usaha keras penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, tindakan itu juga bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar keluhan kakitangan awam meskipun pada peringkat awal tidak bercadang untuk mengumumkan sebarang bantuan.

“Alhamdulillah akhirnya YAB Perdana Menteri beri pertimbangan wajar bagi membantu penjawat awam. Cuepacs yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam.

“Cuepacs memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan dengan keadaan ekonomi ketika ini. Cuepacs berharap penjawat awam akan terus memberi komitmen penuh dalam menjalankan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cuepacs dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri berikutan pengumuman yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban penjawat awam itu.

Anwar hari ini telah mengumumkan keputusan kerajaan bagi pemberian BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar Jumaat ini.

Sementara itu, kerajaan juga memutuskan pemberian RM250 kepada pesara kerajaan termasuklah veteran berpencen dan tidak berpencen.

Cuepacs bagaimanapun yakin bantuan daripada kerajaan itu mampu melakar sedikit senyuman khususnya buat keluarga penjawat awam untuk membuat persiapan Aidilfitri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini