Tumpuan :
Nasional

Pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS Kulai-Sedenak dihenti sementara 12 hari

KULAI: Kerja-kerja pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Kulai-Sedenak yang giat dijalankan akan dihentikan 12 hari bermula 23 Januari ini sehingga 3 Februari depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata arahan pemberhentian kerja sementara itu dikeluarkan bagi mengelakkan kesesakan di laluan itu susulan musim cuti persekolahan dan cuti Tahun Baharu Cina.

“Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuh raya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada.

“Saya sudah mengarahkan pihak PLUS supaya memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja-kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti.

“Sehubungan itu, pada musim cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina nanti, arahan pemberhentian kerja sementara sudah dikeluarkan selama 12 hari bermula daripada 23 Januari hingga 3 Februari.

“Arahan itu dikeluarkan supaya kelancaran laluan berkenaan tidak terganggu berikutan jangkaan pertambahan kenderaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 Senai Utara-Sedenak, Pakej A: Kulai-Sedenak di Persimpangan Bertingkat Sedenak, di sini, hari ini.

Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Plus terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara, adalah inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS Wilayah Selatan yang sering berlaku ketika waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.

Dalam pada itu, Nanta berkata, peratus kemajuan projek pembinaan lorong tambahan PLUS laluan Kulai-Sedenak adalah sebanyak 5.02 peratus, setakat 31 Disember lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini