comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembubaran DUN : Perak Terawal Menghadap Sultan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

KUALA LUMPUR : Perak merupakan negeri terawal menghadap Sultan bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ketika pentadbiran DUN negeri-negeri lain masih bertaraf status quo.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada 2 petang esok bagi mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN Perak.

Setakat ini, hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis dilaporkan akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.

Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man masing-masing masih menanti tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, untuk mempersembahkan hasrat membubarkan DUN.

DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan raya negeri tidak akan dibubarkan.

DUN dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, dan di bawah PAS iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaporkan hanya akan dibubarkan tahun depan.

Selangor diketahui tidak akan membubarkan DUN sehingga tahun hadapan dan perkara itu diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang hari ini menitahkan agar pentadbiran kerajaan negeri diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa semalam untuk memberi laluan kepada PRU15, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.-BERNAMA

Loading...
Terkini