comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembubaran Parlimen Tidak Jejas Program Perantisiswa – Annuar

KOTA BHARU: Semua program kerajaan termasuk pemberian peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diteruskan walaupun Parlimen sudah dibubarkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau turut menolak khabar angin yang mengatakan program peranti siswa itu terhenti susulan pembubaran tersebut.

“Pertama sekali ada yang membuat khabar angin bahawasanya pembahagian peranti terhenti kerana Parlimen dibubarkan, jadi saya nak tegaskan bahawasanya semua program kerajaan termasuk peranti siswa berjalan seperti biasa.

“Jadi jangan ada dalam media sosial yang menyebarkan khabar angin yang tidak betul,” katanya pada sidang media selepas sesi pengagihan peranti siswa kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, di sini hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata sebanyak 221,000 daripada hampir 500,000 permohonan peranti siswa bagi fasa pertama dan kedua telah diluluskan.

“Bakinya dalam proses semakan. Proses penyampaian akan diteruskan secara berperingkat dan tidak ada kaitan dengan soal pembubaran Parlimen.

“Ini kerana kita terpaksa menunggu universiti dibuka kerana sebahagian besar pemohon berada di kampus. Saya sasarkan sebelum akhir November (ini) semua sekali dapat diagihkan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini