comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemergian Hail Amir, kehilangan besar buat industri – Datuk DJ Dave

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi lagenda era 70-an, Allahyarham Datuk Hail Amir di usia 76 tahun merupakan kehilangan besar industri seni tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) Datuk DJ Dave berkata, Allahyarham adalah individu yang amat peramah dan ceria.

Beliau turut berkongsi saat-saat akhir ketika melawat Allahyarham semalam dan memaklumkan keadaan Allahyarham masih lagi baik dan boleh bercakap seperti biasa.

“Semalam saya dapat melawat arwah dan dia cam saya. Saya tanya, Hail kenal saya? Dia kata kenal. Saya bercakap dengan dia, dia lemah, suara keluar tapi tak dengar”

DJ Dave turut berkongsi, beliau dan Allahyarham selalu berhubung dan bertanya khabar sebelum ini.

“Dia seorang peramah, seorang yang memang tak pernah burukkan orang. Selalu bergurau dengan dia, selalu berjenaka dengan dia. Dia peramah, dia memang orang baik” ujarnya ketika ditemui media di Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah mengesahkan berita pemergian penghibur yang sinomin dengan lagu, Wajah Kesayangan Hamba itu dilaporkan dimasukkan ke HKL Sabtu lau, selepas mengalami batuk berterusan.

Menerusi satu kenyataan, Hafiz memaklumkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Ukay Perdana dan akan dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Allahyarham yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selepas lebih lima dekad dalam industri hiburan beliau, dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2022.

Allahyarham Datuk Hail Amir meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini