comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemeriksaan Imigresen guna kod QR di KSAB lancar 

Jabatan Imigresen Johor mula melaksanakan pemeriksaan menggunakan kod QR di pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, semalam. – Foto: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Imigresen Johor mula melaksanakan pemeriksaan menggunakan kod QR di pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, semalam.

Pemangku Pengarah Imigresen negeri, Mohd Faizal Shamsudin, berkata pelaksanaan Proof of Concept (POC) di KSAB pada hari pertama semalam berjalan lancar dengan proses pemeriksaan Imigresen yang mendapat maklum balas positif daripada pengembara.

Katanya, pelaksanaan penggunaan kod QR itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan rentas sempadan ke Singapura dengan lebih mudah.

“Ia adalah inisiatif dalam menangani kesesakan di dua pintu masuk itu, di samping menambah baik tata kelola supaya aliran trafik berjalan lebih lancar pada masa akan datang.

“Bagi fasa pertama, pelaksanaan kod QR hanya boleh digunakan oleh rakyat Malaysia yang menaiki bas dan motosikal di KSAB dengan melakukan pendaftaran MyTRIP yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.

“Sebagai permulaan, bagi laluan Zon Motosikal sebanyak lima kaunter dibuka di laluan masuk dan lima kaunter di laluan keluar, manakala di Dewan Bas terdapat empat kaunter di laluan keluar dan empat di laluan masuk. Pembukaan kaunter ini akan diperluaskan mengikut fasa secara berperingkat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Faizal berkata, pengembara yang sering melakukan perjalanan rentas sempadan melalui kaunter pemeriksaan Mbike, E-gate dan kaunter manual tidak perlu bimbang kerana kaunter pemeriksaan terbabit masih tersedia untuk digunakan.

“Bagi memudahkan perjalanan pengembara, Jabatan Imigresen negeri akan sentiasa berkongsi maklumat aliran trafik dan keadaan semasa di dua pintu masuk utama menerusi media sosial rasmi jabatan dari semasa ke semasa.

“Maklumat lanjut berkaitan penggunaan MyTRIP boleh dirujuk melalui aplikasi MySejahtera di ruangan soalan lazim MyTRIP. Pengembara juga diingatkan untuk sentiasa memastikan ada membawa bersama pasport antarabangsa mereka pada setiap kali perjalanan keluar negara dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah ketika tiba ke negara yang dituju,” katanya.

Mohd Faizal berkata, pada masa sama pelaksanaan pemeriksaan Imigresen menggunakan kod QR di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pula akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pemakluman rasmi berkaitannya akan turut dimaklumkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini