HOME / Nasional

PEMERKASA PLUS | Moratorium Bernilai RM30 Bilion Akan Manfaat 5 Juta Peminjam Yang Terjejas

KUALA LUMPUR: Bantuan bayaran balik pinjaman dan moratorium bernilai sehingga RM30 bilion bermula Jun 2021 dijangka memanfaatkan lebih daripada 5 juta peminjam, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, hasil berbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) Industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan,” katanya semasa mengumumkan pakej bantuan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion, di sini, malam ini.            

“Insha-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan,” katanya. 

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Katanya, melalui skim berkenaan, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

“Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu perdana menteri berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA)  juga akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai, 2021, yang mana peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.

Menurutnya, bagi usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021. –  BERNAMA