comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemetaan semula sempadan perairan Malaysia-Singapura perlu disegerakan

Pulau Batu Puteh.

ISKANDAR PUTERI: Pemetaan semula persempadanan perairan Malaysia-Singapura membabitkan perairan Johor perlu disegerakan bagi mengelakkan insiden Batu Puteh berulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata langkah itu juga penting bagi menjaga kepentingan negara sekali gus memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.

 

Katanya, ketika ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan sedang menyiapkan kertas kerja mengenai perkara itu sebelum ia dibentangkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi dibawa ke peringkat persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad (kiri) ketika menyampaikan sumbang pada Program Ziarah Kasih di Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. FOTO: NSTP

“Pemetaan semula persempadanan perairan Singapura-Malaysia ini amat serius dan ia perlu disegerakan kerana ia membabitkan kepentingan dan hak negara dan kita tidak mahu insiden Batu Puteh berulang semula. Apatah lagi kerja penambakan di Tuas Singapura yang sedang berjalan ketika ini dibimbangi akan menyebabkan perairan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) cetek malah menyebabkan ratusan nelayan tempatan hilang punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Pekajang, Gelang Patah, hari ini.

 

November lalu, Pandak dilaporkan membawa usul supaya Pulau Merambong di perairan Johor dijadikan pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memantau sempadan perairan Malaysia-Singapura dengan lebih ketat.

Pandak dilaporkan berkata usul itu penting bagi membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan penuh sempadan perairan negara daripada diceroboh dan diprovokasi pihak luar.

Ia susulan beberapa insiden provokasi antara pihak berkuasa maritim Singapura dan nelayan tempatan.

Menurut Pandak, langkah menjadikan Pualu Merambong pangkalan Maritim Malaysia dapat memastikan kawasan Gelang Patah tidak lagi dijadikan tempat pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk.

“Memang ada Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Ladang, di sini, namun ia tidak menempatkan anggota yang besar. Jika apabila Pulau Merambong dijadikan pangkalan Maritim Malaysia, sudah tentu kawalan di kawasan perairan di Iskandar Puteri akan menjadi lebih ketat dan tidak sewenang-wenang diceroboh PATI,” katanya.

Loading...
Terkini