comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik Akaun TikTok Mati Selepas Dihambur Komen Kebencian

SUBANG JAYA: Seorang pemilik akaun TikTok yang ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya oleh ahli keluarga, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga berhubung keadaan mangsa pada jam 11.51 pagi Sabtu lalu.

“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima makluman daripada keluarga yang membawa mangsa ke hospital.”

“Semasa dibawa dari rumah, mangsa masih bernafas tetapi meninggal ketika dalam perjalanan,” katanya dihubungi BH hari ini.

Abd Khalid berkata, mangsa yang berusia 44 tahun tinggal bersama suami dan anaknya di kediaman mereka di USJ 11.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian dan fizikal si mati, polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya sambil menambah bedah siasat sudah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Terdahulu satu laman portal berita melaporkan mangsa ditemui mati di rumahnya selepas dikatakan menerima komen kebencian bertalu-talu di akaun TikTok yang mempunyai lebih 30,000 pengikut.

Mangsa dikenali sebagai Shashikala Nagarajah dilaporkan ‘dibuli secara siber’ berhubung penampilan dan koleksi beg tangannya di media sosial.

Tiga hari sebelum ditemui dalam keadaan parah, mangsa yang menerbitkan video dalam bahasa Inggeris dan Tamil memaparkan kandungan mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini