comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia meninggal dunia

Allahyarham Tuk Din, pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia di London.

KUALA LUMPUR: Pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia, Zainuddin Yahaya, 70, meninggal dunia di United Kingdom, hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tuk Din dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hammersmith Hospital, London sekitar jam 9.40 pagi waktu tempatan.

Berita itu dikongsi ramai kenalan Allahyarham, termasuk wartawan sambilan NSTP di London, Zaharah Othman menerusi satu hantaran di Facebook.

“Ya Allah, ampunilah dosanya, tempatkanlah Tuk Din bersama yang soleh dan beriman.

“Ya Allah berilah ketenangan dan kesabaran kepada keluarga dan kawan-kawan yang sangat menyayanginya,” katanya.

Difahamkan, Tuk Din dilaporkan ditempatkan beberapa hari di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Allahyarham sudah menetap di United Kingdom lebih 40 tahun dan memperoleh status penduduk tetap.

Restoran Allahyarham yang berkonsepkan cita rasa Malaysia sangat popular dan sering dikunjungi selebriti dunia, malah menjadi pilihan rakyat dan pelajar Malaysia di London.

Awal Mei lalu, Tukdin Flavours of Malaysia dalam kemas kini di laman Facebook memaklumkan Tuk Din dirawat di ICU kerana berdepan masalah kesihatan.

Sementara itu, Tukdin Flavours of Malaysia dalam hantaran di InstaStory pada Jumaat memaklumkan, doktor memaklumkan Tuk Din mempunyai peluang tipis untuk bertahan lebih lama.

Loading...
Terkini