comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik stesen minyak perlu segera buat aduan polis jika diugut sindiket – Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi PDRM dan DBKL bersama Rakan Strategik dengan Komuniti Setempat di pekarangan Blok 3B Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa pemilik stesen minyak yang menjadi mangsa ugutan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi segera tampil membuat aduan kepada polis.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,berkata, pemilik stesen minyak tidak wajar mendiamkan perkara itu, sebaliknya sebaik sahaja menerima sebarang ugutan, perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebarang aduan berkaitan elemen ugutan adalah dalam bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lesen untuk stesen minyak di negara kita dikawal selia oleh KPDN (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) manakala kuota (jualan) dan subsidi dikawal selia oleh Kementerian Kewangan.

“Namun sekiranya ada ugutan, itu sudah dalam bidang kuasa PDRM. Kalau betul berlaku ugutan terhadap tuan punya stesen minyak dan memang wujud elemen ugutan itu, dia hendaklah segera membuat aduan kepada polis, itu sahaja pilihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah di perkarangan Blok 3B Perumahan Awam Sri Sabah di sini, hari ini anjuran PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain,Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pemilik stesen minyak memaklumkan mereka diancam dan diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada kumpulan terbabit.

Katanya, antara lain ancaman yang diterima pemilik dan pekerja stesen minyak terbabit termasuk sindiket yang mahu membakar stesen minyak dan merosakkan kemudahan yang ada.

Susulan itu, katanya KPDN dengan kerjasama polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan dan mahu stesen minyak lain sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang turut menerima ancaman sama, supaya membuat laporan secara rasmi kepada KPDN dan mereka tidak perlu bimbang kerana maklumat dirahsiakan.

Datuk Seri Safuddin berkata, sekiranya PDRM ada menerima laporan daripada pihak yang menerima ugutan, polis akan segera menjalankan siasatan dengan kerjasama KPDN.

Katanya, KPDN pula akan menjalankan siasatan terhadap stesen minyak yang dikesan menjual diesel atau petrol subsidi dengan jumlah yang besar tidak munasabah.

Sementara itu, Tan Sri Razarudin ketika ditanya sama ada sudah ada mana-mana pihak tampil membuat aduan berhubung perkara itu, beliau mengesahkan pihaknya belum ada menerima sebarang aduan setakat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini