comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik syarikat ditahan, bantu siasatan kes salah guna kuasa berjumlah RM1.4 juta

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Sumber berkata, suspek berusia 30-an yang juga suami kepada bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ditahan pada 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

Katanya, penahanan lelaki itu susulan tangkapan terhadap isterinya yang kini ditahan reman selama enam hari sejak Selasa.

“Wanita berusia 40-an yang juga suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2019, menggunakan jawatannya bagi mencadang serta menyokong syarikat milik suami untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan ditahan dalam tempoh 24 jam dan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebaik proses merakamkan keterangannya selesai dilakukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini