
JOHOR BAHRU: Suami isteri yang juga pemilik syarikat pengendali umrah ditahan semula bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasangan berusia 32 tahun itu ditahan kelmarin, selepas mereka dibebaskan dengan jaminan Polis Kontinjen Selangor sebaik tamat tempoh reman.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di kontinjen ini.
“Setakat ini, sebanyak sembilan laporan polis telah diterima yang membabitkan kerugian berjumlah RM174,080,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kes itu akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pemilik syarikat agensi umrah itu dan isterinya akan ditahan semula berkaitan satu lagi kes penipuan yang dilaporkan di Johor selepas reman tamat.
Menurutnya, enam lagi tangkapan sebelum ini akan diberi jamin oleh pihak polis pada hari ini.
Setakat ini, polis dilapor menerima 42 laporan membabitkan 28 daripada mangsa, 13 laporan oleh ejen dan kakitangan serta satu daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.