comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemimpin agama perlu main peranan pupuk persefahaman, perjuang keadilan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa 2024 di Petaling Jaya. FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Setiap pemimpin agama di seluruh dunia perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan persefahaman dan aspek perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu penting bagi memastikan pimpinan setiap agama mampu tampil meredakan ketegangan dalam sesetengah isu.

Selain itu, Anwar turut menegaskan, setiap pimpinan agama juga perlu berani dan lantang menyuarakan isu kemanusiaan tanpa mengira soal latar belakang agama.

“Tidak kira apa agama namun soal keadilan tidak boleh diketepikan kerana saya percaya tidak ada sebarang agama yang benarkan penindasan terhadap sesiapa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menyangkal penganjuran majlis berkenaan bersifat liberal sebaliknya matlamat utama adalah bagi mencapai persefahaman melibatkan semua penganut agama masing-masing.

“Kita promosikan soal persefahaman, toleransi dan sifat adil kerana itulah tanggungjawab sebagai seorang muslim.

“Keadilan tidak seharusnya ditegakkan di dalam negara malah perlu diperluas ke negara lain,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama berhasrat untuk menjadikan persidangan berkenaan sebagai acara tahunan bagi membawa kesan positif yang berterusan.

Kira-kira 2,000 tokoh agamawan dan golongan pemikir hadir pada persidangan tersebut yang meliputi 57 negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini