comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemimpin BERSATU kecam MPKB keluar kompaun seluar pendek 

Seorang wanita dikenakan kompaun oleh MPKB semasa pemeriksaan di kedainya kerana memakai baju-T dan seluar pendek di tempat awam. – Foto: Facebook

PETALING JAYA: Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengeluarkan kompaun ke atas seorang wanita bukan Islam kerana dikatakan berpakaian mencolok mata, semalam dikecam seorang pemimpin BERSATU.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang dan Perlembagaan BERSATU, Sasha Lyna Abdul Latiff, berkata MPKB “tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pakaian atau moral”.

“Pertama, Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 tidak sah, kerana ia melebihi kuasa diberikan kepada majlis bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat undang-undang kecil.

“Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan hanya membenarkan majlis membuat undang-undang kecil berkaitan ‘kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan’,” katanya dalam kenyataan.

Foto: Ihsan MPKB

Terdahulu, MPKB mengesahkan mengeluarkan kompaun ke atas wanita berusia 35 tahun yang menjalankan perniagaan pakaian itu ketika pemeriksaan penguat kuasa.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin dilapor berkata, pegawainya melakukan pemeriksaan di premis terletak di Jalan Merbau pada jam 11 pagi.

“Peniaga bukan Muslim itu memakai seluar pendek di tempat awam dan kerana itu dikompaun,” katanya ketika dihubungi.

Tindakan dibuat bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985, dengan undang-undang berkaitan pemakaian sopan sudah lama diguna pakai terhadap penduduk Kelantan termasuk bukan Islam.

Difahamkan, wanita itu mempunyai masa tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan untuk menjelaskan denda, jika enggan dikenakan tindakan lanjut.

Kejadian itu tular di media sosial selepas ahli keluarga wanita berkenaan memuat naik notis kompaun dan turut menimbulkan perdebatan netizen.

Sementara itu, Sasha juga mendakwa, perkataan “sopan” dalam Seksyen 34(2)(b) adalah kabur dan boleh ditafsirkan secara berbeza.

“Tidak adil untuk mengenakan kompaun kepada wanita tersebut apabila definisi kesalahan tidak jelas,” katanya yang menambah standard dikenakan ke atas wanita Islam, iaitu menutup aurat, tidak boleh terpakai kepada bukan Islam.

Sasha berkata, untuk membuktikan pakaian tersebut “tidak sopan” memerlukan tahap ketidaksopanan tertentu yang melebihi sekadar memakai baju-T dan seluar pendek, seperti separuh bogel.

“Ini jelas tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, langkah terbaik adalah majlis tempatan membatalkan kompaun itu dan menangguhkan operasi Seksyen 34(2)(b) sementara menunggu ulasan pihak berkuasa negeri atau EXCO.

Loading...
Terkini