comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemimpin dunia perlu perlu bersatu tamatkan konflik Lubnan-Israel

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia perlu bersatu hati dan mengambil tindakan segera dalam menghentikan peperangan yang semakin meruncing antara Israel dan Hezbollah di Lubnan, termasuk konflik hampir memasuki setahun yang berlaku di Palestin khusunya di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Syahrir Azfar Saleh dalam satu kenyataan berkata perkembangan mutakhir ini yang bukan sahaja mengancam kestabilan kawasan tersebut, tetapi turut membawa penderitaan besar kepada masyarakat awam.

“Peperangan yang berlarutan ini telah mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada ribuan individu, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Kehancuran infrastruktur awam serta gangguan terhadap kehidupan harian menambah lagi penderitaan berpanjangan penduduk tempatan,” katanya

“Kami bimbang bahawa keganasan yang meningkat ini akan membuka jalan kepada konflik yang lebih besar dan merumitkan usaha-usaha keamanan di rantau tersebut.”

Katanya GPM mendesak masyarakat antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa-kuasa besar dunia, untuk mempercepatkan rundingan damai dan mencari penyelesaian diplomatik yang mampan.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk meletakkan nyawa manusia dan kesejahteraan penduduk sebagai keutamaan.

“Kami menyeru supaya langkah-langkah segera diambil untuk melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih dahsyat.

“Sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap keamanan sejagat, GPM menekankan pentingnya dialog dan rundingan dalam menyelesaikan konflik.

“Keganasan bukanlah jalan untuk menyelesaikan perbezaan.”

“Kami berdiri teguh bersama komuniti dunia dalam usaha untuk mencapai keamanan yang berkekalan, demi kepentingan generasi masa kini dan akan datang,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini