Tumpuan :
Nasional

Pemuda maut dirempuh kereta dipandu lelaki positif dadah

Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki positif dadah di Kilometer 59 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Kampung Keroh, Kuala Krai pagi tadi. – FOTO: Ihsan Polis

KUALA KRAI: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki positif dadah di Kilometer 59 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Kampung Keroh, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah susulan insiden jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Honda jenis EX5 dan kereta Proton Saga.

Katanya, siasatan awal dapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Machang menghala ke Kuala Krai bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta terbabit memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan motosikal.

“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ujian awal air kencing terhadap pemandu kereta terbabit mendapati positif dadah jenis methamphetamin dan kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk dibedah siasat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini