comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemuda Orang Asli maut dibaham harimau ketika keluar menyumpit

Gambar kiri lokasi kejadian harimau membaham seorang lelaki orang Asli di Pos Pasik. Gambar kanan menunjukkan kesan tapak kaki haiwan itu. – FOTO Ihsan Penduduk

GUA MUSANG : Mayat seorang pemuda Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Sugi, Pos Pasik ditemukan dengan kesan cakaran harimau pada bahagian kepala dan badan.

Sebelah kaki kirinya turut dilaporkan hilang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Mohd Sani Nahtiman, penduduk kampung menemukan mayat Pisie Amud, 25, semalam.
​​​​​​​
Mohd Sani berkata, dia dimaklumkan seorang pemuda dari kampung terbabit tidak pulang selepas keluar menyumpit pada Selasa lalu.

Dua penduduk kemudian keluar mencari mangsa di atas bukit Kampung Perwer yang bersempadan dengan ladang sawit dan menemukan motosikal mangsa serta peralatan menyumpit selain kesan tapak kaki harimau.

“Mereka pulang dan memaklumkan penemuan terbabit. Kira-kira 6 petang, saya bersama 10 orang penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian.

“Bermula dari kesan tapak harimau terbabit saya bersama tiga penduduk menjejaki sejauh 500 meter dan bertemu mayat mangsa.

“Mayat mangsa ditemukan dengan kesan cakaran pada bahagian kepala, badan dan sebelah kaki kirinya sudah hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, bermula jam 9 malam semalam, mereka mula berkawal di tempat penemuan mayat terbabit.

“Seramai 20 orang penduduk bergilir-gilir menjaga mayat mangsa sehingga pihak berwajib datang untuk mengambilnya. Kira-kira 4 pagi tadi harimau belang itu datang kembali mungkin untuk mengambil mayat mangsa.

“Orang Asli yang berkumpul membuat bising dan memasang mercun untuk menghalau harimau terbabit, walaupun ia dapat menjarakkan haiwan liar itu, namun masih kelihatan ia berkeliaran di kawasan terbabit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima makluman kejadian yang berlaku di Pos Pasik itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini