comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemuda PAS tuntut kerajaan Malaysia minta penjelasan dari Sweden tindakan Paludan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS menggesa kerajaan supaya memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia untuk memberikan penjelasan berhubung tindakan ahli politik negara itu, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran dalam protesnya terhadap Turkiye.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata, pihaknya turut menggesa umat dan gerakan Islam di seluruh dunia, serta pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam.

“Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun dan ekstrim ini.

“Kita perlu mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrim seperti Paludan.

“Ini kerana, Pemuda PAS memandang tindakan sebegini adalah politik lapuk yang menzahirkan kemunafikan politik yang diamalkan oleh Barat yang selama ini kononnya mengamalkan nilai murni dalam berpolitik,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Paludan, Ketua Parti Stram Kurs yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada masa sama, Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS mempersoalkan tindakan tidak bertamadun Paludan itu bagi menyelesaikan ketidakpuasan hatinya.

“Kita pelik sama ada dengan berbuat sedemikian, ketidakpuasan hati beliau dan pengikutnya akan dapat diselesaikan? Sudah tentu tidak.

“Kita juga menggesa supaya kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap beliau sesuai dengan kesalahan jahat yang beliau lakukan,” katanya.

Loading...
Terkini