Tumpuan :
Nasional

Penahanan Vivy, pasangan bergantung kepada keputusan pegawai penyiasat – Azam

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menahan usahawan atas talian terkenal, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar susulan siasatan pelaburan jutaan ringgit ke FashionValet Sdn Bhd (FV) bergantung kepada pegawai penyiasat kes itu.

Ketua Pesuruhjaya  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada penyiasat yang akan memutuskan sebarang tindakan yang bersesuaian dengan hasil siasatan yang dilaksana.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan kes itu akan mengambil masa disebabkan beberapa faktor yang mungkin merumitkan siasatan.

“Setakat ini pegawai SPRM membuat yang terbaik dalam menyelesaikan kes ini tetapi saya jangka ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat disebabkan ia juga membabitkan beberapa keputusan korporat. Jadi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Azam juga tidak menolak kemungkinan, Vivy dan suaminya itu akan dipanggil semula esok untuk sesi kelima oleh pegawai penyiasat.

“Dalam beberapa sesi terdahulu kita mendapatkan maklumat menerusi dokumen, akaun, pelaburan yang masuk ke dalam FashionValet serta aset-aset yang dimiliki.

“Oleh saya tidak melihat ia akan diselesaikan hari ini dan menjangkakan pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali untuk membantu siasatan,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.

Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.

Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini