comscore
Tumpuan :
Nasional

Penaiktarafan lesen B2 kepada B, faktor usia dan tempoh pemilikan lesen jadi asas pertimbangan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Keputusan untuk menaik taraf lesen B2 kepada B hanya akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat terperinci antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak-pihak berkepentingan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, penaiktarafan itu tidak akan dinikmati oleh semua pemegang lesen B2 sebaliknya akan diberikan berdasarkan dua pertimbangan utama.

“Ada tempoh tertentu dari segi umur pemohon itu mesti berusia 35 tahun ke atas, yang kedua pemegang lesen B2 itu untuk satu tempoh tertentu, barulah layak mendapat B,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Gambar fail anggota Ladies Bikers Yamaha R250 bersama motosikal berkuasa tinggi.

Mengulas lanjut ujarnya, sesi libat urus ini bukanlah untuk membuat keputusan, sebaliknya mendengar dan mencari mekanisme untuk mempercepat kelulusan penaiktarafan lesen B2.

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika sesi libat urus memaklumkan pertimbangan usia 35 tahun ke atas untuk penaiktarafan lesen itu adalah disebabkan jumlah kemalangan yang paling tinggi dicatatkan golongan berusia 16 hingga 35 tahun.

“Kita lihat data, kalau budak yang baharu dapat lesen, 16 tahun atau 17 tahun terus diberi lesen B, mereka akan sewenang-wenangnya, tapi kalau dan berumur sedikit ada pengalaman, kita rasa mereka punya rasa tanggungjawab itu lebih tinggi.”

“Dari segi berapa tahun dia ambil lesen juga suatu yang kita pertimbangkan, tak semestinya umur 35 tahun dia ada pengalaman bawa motosikal, mungkin dia belum ambil lesen B2, itu tak boleh,” katanya.

12 Disember lalu, Dewan Negara dimaklumkan Kementerian Pengangkutan melalui agensinya JPJ sedang mengadakan kajian komprehensif untuk menilai cadangan menaik taraf lesen kelas B2 kepada B secara automatik.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata kajian yang sedang berjalan itu melibatkan aspek-aspek keselamatan jalan raya, kompetensi dan juga kemahiran penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira struktur binaan kenderaan dan teknikaliti pemanduan yang berbeza berbanding motosikal berkuasa rendah.

Ini kerana tahap kemahiran dan pengetahuan menunggang yang diperlukan oleh para penunggang motosikal kelas B (500 c.c. ke atas) adalah berbeza dengan kelas B2 kerana aspek berat motosikal, wheelbase, kelebaran handle bar dan posisi penunggangan di atas motosikal yang berbeza.

Loading...
Terkini