PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam gred A, B dan C.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah menamatkan subsidi wajar dipertimbang sekiranya bekalan telur kembali pulih dan stabil.
Katanya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
“Justeru saya berpandangan, sudah tiba masanya kementerian ini mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C.
“Apabila kita mengambil keputusan tidak popular iaitu menamatkan subsidi harga ayam, ketika itu ramai yang memperlekehkan usaha kita kononnya harga ayam akan melambung.
“Alhamdulillah, selepas subsidi ditamatkan, harga ayam tidak lagi melambung dan lebih penting, negara mendapat manfaat dengan penjimatan RM100 juta sebulan melalui penamatan subsidi harga ayam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPKM di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM927 juta bagi subsidi telur ayam.
Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan tiga sen untuk harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara.
Anwar dilaporkan berkata, langkah itu membabitkan subsidi 10 sen bagi sebiji telur ayam, melibatkan perbelanjaan RM100 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, cadangan penamatan subsidi teluar ayam sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Cadangan ini sudah dikemukakan untuk pertimbangan. Jika mendapat kelulusan, kita boleh tamatkan subsidi,” katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan menghentikan subsidi ayam pada 1 November tahun lalu terbukti berhasil apabila harga dan bekalan ayam di pasaran terus stabil sehingga kini.
“Tempoh awal saya di kementerian ini, waktu itu negara berhadapan kekurangan ayam dan telur ayam. Kini, penternak ayam pula mengeluh kepada saya kerana harga ayam terlalu murah.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras semua, hari ini kita tidak lagi mendengar keluhan rakyat mengenai ketiadaan bekalan ayam dan telur ayam di pasaran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.