Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjangkakan status kemajuan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda mencapai 90 peratus di pertengahan bulan Oktober 2023 dan memperolehi hasil kasar pengeluaran sebanyak 450,000 tan metrik.
Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan hasil padi itu mampu menyumbang 274,000 tan beras (27.4 juta beg beras).
“Bagi kelangsungan pengeluaran padi negara, pihak MADA juga melaksanakan strategi program peningkatan hasil padi di Kawasan Muda dengan memfokuskan penanaman padi skala besar seperti Projek Smart SB Ala Sekinchan dan Projek Penanaman Padi 5 Kali Dalam Tempoh 2 Tahun.”
“Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi MADA pada 18 September 2023 bersetuju bahawa penanaman padi bagi Musim 1/2023 adalah bergantung kepada turunan air hujan 100 peratus,” katanya.
Seiring pelan itu, tarikh akhir menabur bagi fasa satu ditetapkan pada 11 November 2023, 22 November 2023 (fasa dua) dan 1 Disember 2023 (fasa tiga).
“Kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi bagi menampung aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 iaitu di Empangan Pedu berada pada kadar 726,884 juta meter padu (83.22%), Empangan Muda pada kadar 81,850 juta meter padu (66.13%) dan Empangan Ahning pada kadar 220,643 juta meter padu (98.94%).”
Justeru, peladang-peladang di Kawasan Muda dinasihatkan supaya mematuhi Jadual Penanaman Padi yang dikeluarkan, mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut Senarai Semak Penanaman Padi (Rice Check) bagi membolehkan potensi hasil yang maksimum dapat diperolehi.
Untuk rekod, Kawasan Muda adalah pengeluar padi terbesar negara diantara tahun 2017 hingga 2021 dengan keluasan pasel padi mencapai 100,641 hektar yang mana 83,999 hektar berada di negeri Kedah.
Baki 16,642 hektar keluasan berada di Negeri Perlis, dan telah menyumbang di antara 39-43 peratus padi setahun kepada negara.