Oleh: Kumaran Rajamoney
GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun bagi inisiatif Penang Silicon Design @5km+.
Jelasnya, Penang Silicon Design @5km+ menjadi projek yang membanggakan Pulau Pinang dan mampu melonjakkan kekuatan ekonomi negeri dan juga Malaysia secara umumnya.
“Saya tentunya sangat menghargai peranan yang dimainkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Usaha ini akan membantu melonjakkan kekuatan ekonomi dengan meletakkan Malaysia sebagai hub pusat penting semikontraktor rantau ini.”
“Permohonan yang dibuat kecil, sekitar RM12 juta satu tahun, iaitu RM60 Juta bagi lima tempoh lima tahun. Saya setuju luluskan RM50 juta, dan berharap ini akan membantu mempermudahkan,” katanya ketika berucap melancarkan insiatif Penang Silicon Design @5km+ di sini, hari ini.
Inisiatif yang diterajui kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi agensi utamanya, InvestPenang, dicipta untuk merevolusikan industri semikonduktor Malaysia dan sejajar sepenuhnya dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Inisiatif baharu ini menandakan satu lonjakan penting ke arah bahagian hadapan rantaian nilai semikonduktor, mempercepatkan revolusi kecerdasan buatan (AI), dan memacu negara ke barisan hadapan dalam inovasi teknologi global.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.