comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencapaian Membanggakan Alesyah

FOTO: Berita Harian

KOTA KINABALU: Kejayaan melakar banyak pencapaian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) peringkat antarabangsa melayakkan Alesyah Asa, 20, menjadi penerima Anugerah Khas sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Pelajar Kolej Vokasional Keningau itu terbabit dipilih berdasarkan sumbangannya memenangi pertandingan Steam Chapter of The Awesome Foundation di Amerika Syarikat, juara Global Media and Information Literacy Youth Hackathon anjuran Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan Korea Selatan.

Selain itu, dia juga turut menjadi pembentang projek inovasi pada persidangan International Euroasia Congress on Scientific Researches and Recent Trends.

Anak jati Nabawan itu juga wakil tunggal Malaysia untuk Anugerah Global Student Prize di Amerika Syarikat dan salah seorang calon daripada 50 orang yang terpilih di seluruh dunia.

Alesyah ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka akan menerima Anugerah Khas sempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Anugerah Global Student Prize, Alesyah berkata, dia bersama dua orang rakannya menjalankan projek penciptaan alat pemasangan jubin lantai dan prototaip alat terbabit disiapkan selama enam bulan dengan kos RM500.

“Objektif kami adalah untuk membantu individu yang kurang berkemahiran dalam pemasangan jubin lantai, jadi bila mereka (golongan sasaran projek) memakainya akan lebih mudah untuk memasangnya.

“Keputusan untuk Anugerah Global Student Prize ini kita sedang menunggu keputusannya yang akan diumumkan esok (1 September),” katanya.

Anugerah Global Student Prize menawarkan hadiah sebanyak USD100,00 (RM445,000) dan Alesyah harus menduduki tempat 10 teratas sebelum pemenang utamanya diumumkan.

Hari ini, Alesyah yang menerima Anugerah Khas sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah menerima sijil, cenderahati dengan wang berjumlah RM5,000.

Ia disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor bertempat di Padang Merdeka, di sini.

Seramai 7,000 pengunjung yang datang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini