Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu.
Menurutnya, pencarian dasar laut itu membabitkan satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Jelasnya, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat dan analisis data terkini yang telah dibuat pakar serta penyelidik.
“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya.
Mengulas lanjut, menurut Loke, pihak Kementerian Pengangkutan sedang berunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat berkenaan yang dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan.
Ujar beliau, keputusan prinsip itu adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup (closure) bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370.
Pada 8 Mac 2014, pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.