comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau di Kota Tinggi: 5 suspek dihadapkan ke mahkamah

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

JOHOR BAHRU: Lima suspek termasuk pemegang saham dan pengarah sebuah kilang yang terbabit kes pencemaran di kawasan perkampungan Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pertuduhan dibuat selepas pihaknya mendapat arahan pejabat peguam negara.

“Polis Johor mengesahkan telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes pembuangan sisa kilang di lombong kampung terbabit dan menyebabkan pencemaran sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat, serta kemudaratan kepada penyenggaraan pengairan perkhidmatan air di kawasan tersebut.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara kelmarin dan menerima arahan pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 124 kanun keseksaan iaitu melakukan sabotaj.

“Seramai tiga suspek lelaki warga tempatan berusia antara 23 tahun hingga 52 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 124k Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara bagi tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun.

“Dua suspek yang merupakan pengarah serta pemegang saham sebuah kilang beralamat di Seri Alam, dekat Pasir Gudang, yang berusia 41 tahun dan 53 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 124k kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat melakukan sabotaj.

“Kesalahan di bawah Seksyen 124k Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan terhadap negara sebagaimana bahagian VI Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, empat lagi lelaki warga tempatan yang ditangkap sebelum ini akan dibebaskan dengan bon jamin di bawah peruntukan Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran yang boleh menganggu kelestarian alam sekitar.

“Perlindungan kepada alam sekitar adalah tanggungjawab bersama setiap lapisan masyarakat supaya pembangunan lestari dikekalkan serta, penggunaan sumber alam dapat diguna pakai sehingga generasi akan datang secara kualitatif dan kuantitatif.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar terus komited membantu Polis dalam usaha untuk membanteras sebarang aktiviti seumpamanya dengan menyalurkan maklumat ke talian hotline 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999.

Awal bulan ini, Johor berdepan beberapa siri pencemaran bau dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Pada 5 September lalu, seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan di sini, berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang ekoran pencemaran bahan kimia yang berlaku di kampung tersebut.

Pemindahan membabitkan 10 keluarga itu dilakukan selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini