Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan beberapa kawasan berbau busuk serta mempunyai lapisan berminyak di permukaan Sungai Tebrau.
Ia susulan aduan yang diterima oleh JAS berkaitan bau busuk sekitar kawasan Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai, Johor pada 9 September lalu.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, berikutan aduan diterima , beberapa tindakan telah diambil antaranya pengambilan sembilan sampel untuk dianalisis lanjut oleh Jabatan Kimia.
“Bagi kes pencemaran yang dikesan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika, JAS akan memastikan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa pencemaran oleh kontraktor berlesen dilaksanakan sebagaimana terma rujukan (TOR) yang telah ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru.
“JAS melalui operasi bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk PDRM juga telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki melakukan pencemaran dan akan meneruskan pemeriksaan terhadap premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tegasnya kerajaan memandang serius terhadap jenayah alam sekitar dan melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan tersebut.
Ujarnya, AKAS 1974 yang telah berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 melibatkan pindaan hukuman, denda dan penalti di mana peningkatan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
“Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar,” ujarnya.
Isnin lalu, pencemaran bau dipercayai Ammonia dikesan merebak ke beberapa kawasan baharu termasuk Sungai Skudai dan anak Sungai Tebrau.
JAS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor sebelum ini turut mengesahkan tiga lokasi sekitar Johor Bahru mengalami pencemaran bau berpunca daripada buangan bahan kimia Ammonia selepas hasil ujian analisa sampel air dan tanah yang dikeluarkan Jabatan Kimia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.