comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau susulan kebakaran kilang cat bimbangkan penduduk

Kebakaran membabitkan tujuh bangunan kilang di Taman Perindustrian Dato’ Yunus Sulaiman di sini, petang semalam. Pix – Foto ihsan Bomba

ISKANDAR PUTERI: Pencemaran bau cat dan pelarut sejak malam tadi berikutan kejadian kebakaran membabitkan tujuh bangunan kilang di Taman Perindustrian Dato’ Yunus Sulaiman di sini, petang semalam membimbangkan penduduk di sekitar Gelang Patah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Ling Tian Soon berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang memantau kualiti udara selepas kebakaran membabitkan tujuh unit bangunan termasuk sebuah kilang cat.

Beliau berkata, kerja-kerja pemantauan berkenaan dilakukan sejak jam 12.30 tengah malam semalam sehingga 8 pagi hari ini di kawasan sekitar kilang terbabit.

“Pengawasan kualiti udara dilakukan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 sekitar 300 meter jarak dari lokasi kejadian dan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming yang terletak 500 Meter dari lokasi kejadian.

“Pengawasan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 mendapati ada pencemaran bau seperti cat dan pelarut yang mana pada masa ini bacaan pengawasan udara adalah memuaskan dengan tiada bacaan melebihi AEGL 1 (tahap kepekatan udara selamat).

“Pengawasan di hadapan SJKC Ping Ming juga kita tidak kesan apa-apa bau dan bacaan kualiti udara juga menunjukkan tiada pencemaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, pengerusi penduduk di kawasan itu, Salamian Surip berkata, penduduk perlu sedia berpindah sekiranya pencemaran udara berlaku di kawasan mereka bagi memastikan keselamatan dan kesihatan tidak terjejas.

“Sekiranya bomba dan JAS mendapati ada pelepasan atau terbebasnya gas-gas berbahaya termasuk gas beracun, maka penduduk kawasan sekitar kilang perlulah segera berpindah ke lokasi selamat yang akan dimaklumkan.

“Oleh itu, mohon semua penduduk dalam keadaan bersiap sedia untuk boleh segera berpindah bila-bila masa dari sekarang sekiranya ada arahan dari pihak berwajib nanti,” katanya turut meminta penduduk sentiasa mengikuti arahan dikeluarkan.

Difahamkan terdapat kira-kira 2,000 penduduk yang perlu dipindahkan sekiranya gas berbahaya dikesan di penempatan sekitar kilang berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, kebakaran kilang cat di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, Lima Kedai, Gelang Patah pada petang semalam, memusnahkan 55 peratus daripada keseluruhan tujuh unit bangunan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 petang semalam dan saksi kejadian menyatakan kebakaran bermula dari bahagian gudang salah sebuah kilang berkenaan.

“Operasi pemadaman kebakaran kilang ini membabitkan tiga kenderaan Fire Rescue Ttender (FRT), dua lori tangki, sebuah kenderaan Light Fire Rescue Tender (LFRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT), sebuah Aerial Ladder Platform (ALP) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi dijalankan 56 anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Iskandar Puteri, Larkin, Pontian, Kota Tinggi, Senai dan Kulai Besar.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan, selain tiada sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini