comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran: Pengurus besar dan pengurus pengeluaran sebuah kilang ditahan bantu siasatan

FOTO: Ihsan JAS

Oleh: Zahir Senapiah

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar Johor (J-A-S), menahan seorang pengurus besar dan seorang pengurus pengeluaran sebuah kilang pembuatan oleokimia di kawasan perindustrian Pasir Gudang pagi tadi, bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Tukang.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan di kilang berkenaan pagi tadi.

Katanya, suspek masing-masing berumur  44 dan 38 tahun ditahan selepas pemantauan pihaknya mendapati kilang berkenaan melakukan pelepasan efluen perindustrian berwarna putih, hitam dan berbuih daripada premis berkenaan ke longkang dan seterusnya ke Sungai Tukang Batu.

“Susulan aduan orang ramai pegawai penguatkuasa J-A-S telah melakukan pemantauan selama tiga hari bermula Isnin lalu,” katanya yang ditemui dilokasi pembuangan sisa kilang berkenaan, petang tadi.

Ujarnya, empat sampel efluen perindustrian telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sebelum ini J-A-S Johor memaklumkan beberapa batang sungai di negeri itu termasuk Sungai Kim-Kim yang terletak di kawasan perindustrian Pasir Gudang kembali tercemar.

Ia dipercayai berpunca dari tindakan pengusaha kilang membuang sisa kilang ke dalam sungai berkenaan.

Sungai Kim-Kim pernah  menggemparkan negara apabila berlaku kes pembuangan sisa toksik menyebabkan kesihatan lebih 6 ribu penduduk di Pasir Gudang khususnya pelajar sekolah terganggu lima tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini