KUALA LUMPUR: Bekas pembangun francais permainan dalam talian Angry Birds, Peter Vesterbacka melihat adanya potensi dalam industri pendidikan dan hiburan di Malaysia.
Usahawan Finland itu berkata terdapat ruang bagi keusahawanan pemula niaga berkembang di Malaysia dan beliau bersedia untuk memanfaatkan pelbagai kemungkinan.
Pengasas bersama projek infrastruktur yang dikenali sebagai FinEst Bay Area melibatkan terowong Helsinki-Tallinn dan empat stesen yang disambungkan ke terowong itu, Vesterbacka sedang dalam lawatan lima hari ke Malaysia mulai 24 hingga 29 September.
Projek itu menghubungkan Finland dan Estonia, oleh itu ia dikenali sebagai FinEst.
Vesterbacka akan bertemu dengan pegawai kerajaan dalam pendigitalan, pembangunan teknologi dan sumber semula jadi di sini, sejajar dengan jejak pelaburan global beliau dalam individu dan bakat.
“Cabang pembangunan pendidikan FinEst Bay Area, yang dikenali sebagai Finest Future, yang saya terajui sebagai pengasas bersama, berminat untuk memperkenalkan pendidikan Finland di Malaysia, bermula dari peringkat sekolah menengah sehingga universiti, untuk membangunkan bakat serta keusahawanan,” Vesterbacka memberitahu Bernama baru-baru ini.
“Kami mahu mewujudkan persekitaran bagi orang ramai memupuk keperibadian serta kreativiti mereka dan mengembangkan potensi mereka, ini semua perlu dimulakan dengan mempelajari bahasa Finland,” katanya.
Finest Future ialah cabang pembangunan pendidikan bagi Kawasan Teluk FinEst.
Ia bertujuan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi di Finland dan Estonia. Ia menyediakan pembelajaran dalam talian.Ia memudahkan, menilai dan menyediakan pensijilan dalam penguasaan bahasa Finland untuk golongan muda yang memasuki sekolah tinggi serta universiti Finland bermula dari 15 hingga 16 tahun.
Menurut beliau, lebih mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan Finland jika bermula pada usia yang jauh lebih muda.
Vesterbacka berkata Laporan Kebahagiaan Dunia telah meletakkan Finland sebagai negara paling gembira.
Ia tidak mendiskriminasi mana-mana individu dari segi umur, jantina, bangsa dan agama kerana masyarakatnya berpegang kepada kesaksamaan.
“Finland menyediakan alternatif yang lebih murah berbanding negara lain. Seseorang boleh mendapat pendidikan tinggi dan pengajian tinggi percuma selain hanya perlu membayar kos sara hidup yang berjumlah 6,720 euro setahun berbanding 15,000 euro atau lebih di negara barat lain,” katanya.
Katanya lagi, Finest Future telah mengembangkan pendidikan Finland ke lebih 20 negara, termasuk Uzbekistan, Afrika, Amerika Selatan, Indonesia, Thailand, Singapura dan China sejak ia ditubuhkan empat tahun lalu.
Finest Future mempunyai pejabat di Vietnam, Thailand dan Finland.“Kami pada masa ini mempunyai 1,000 pelajar dengan potensi 2,000 yang akan datang,” katanya.
Vesterbacka menekankan bahawa matlamatnya adalah untuk membolehkan golongan muda dari pelbagai negara mencari pekerjaan bernilai tinggi dan menyesuaikan diri dengan kehidupan Finland.
“Kami juga akan meneroka perkongsian dengan sekolah antarabangsa di Malaysia,” katanya, sambil menambah adalah penting bagi melengkapkan golongan muda dengan kemahiran hidup melalui pendidikan, terutamanya apabila membangunkan keusahawanan.
Vesterbacka, pelabur di lebih 70 syarikat turut menerokai kecerdasan buatan dan sektor mampan di Malaysia.
Majalah Time menamakan Vesterbacka sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di planet pada 2011.–BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.