comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencuri ganti lembu selepas gambar mereka mencuri dirakam

Penternak, Wan Mohd Sofian Wan Mohamed memberi makan lembu miliknya di Kampung Batu Hitam.- Foto: NSTP

KUANTAN: Tindakan bijak penternak lembu, Wan Mohd Sofian Wan Mohamed merakam gambar sekumpulan lima individu yang cuba mencuri lembunya berjaya menyelamatkan dia daripada kerugian besar.

Menurut Sofian, kejadian berlaku kelmarin ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah apabila dia terserempak dengan kumpulan terbabit di tepi jalan seolah-olah sedang menunggu sesuatu dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari kebunnya.

Katanya, salah seorang individu terbabit adalah wanita manakala seorang lagi merupakan warga asing yang tinggal di kawasan itu.

Curiga dengan keadaan itu, dia bertanya pada seorang ahli kumpulan terbabit tujuan mereka berada di situ.

Mereka mendakwa mahu mengambil seekor lembu milik salah seorang daripada mereka.

Penternak, Wan Mohd Sofian Wan Mohamed mengikat lembu hitam diberikan pencuri sebagai ganti lembu miliknya yang dicuri di Kampung Batu Hitam.- Foto: NSTP

Dia yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan itu segera membuat pemeriksaan dan mendapati lembu jantan yang sedang terbaring itu adalah miliknya.

Melihatkan keadaan itu, dua daripada individu yang dipercayai menembak lembu itu dengan ubat pelali segera melarikan diri dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Tambah Sofian, dia kemudian meminta baki kumpulan pencuri terbabit membiarkan lembu berkenaan di situ dengan harapan apabila haiwan itu kembali sedar pada malamnya, dia akan kembali untuk mengambilnya.

Jelas Wan Mohd Sofian, dia semakin kecewa apabila tiba buat kali kedua, lembu itu sudah tiada lagi di tempat ia terbaring dan dipercayai dilarikan kumpulan pencuri itu.

“Untuk menyelesaikan kes berkenaan, secara baik saya bertemu dengan lelaki yang menjadi dalang kegiatan itu. Penyelesaian dicapai apabila lelaki itu bertindak menggantikan lembu yang dicuri dengan seekor lembu jantan berwarna hitam ini,” katanya.

Tambah Sofian, dia berharap kejadian itu dapat menyelesaikan kes curi lembu yang berlarutan sejak lima tahun lalu di Kampung Batu Hitam.

Katanya, ramai penternak kerugian apabila haiwan peliharaan mereka tiba-tiba hilang.

Malah dia sendiri pernah kehilangan sembilan ekor lembu jantan bernilai lebih RM40,000 dalam tempoh tiga tahun lalu.

Tambah Sofian bagi memastikan kes curi lembu tidak terus berulang, dia bertindak membuat laporan kehilangan lembu di Balai Polis Beserah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Loading...
Terkini