comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaftaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Dibuka Mulai Hari Ini

Tempoh pendaftaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dibuka mulai hari ini hingga 31 Julai 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan memaklumkan, penerima GKP sedia ada tidak perlu membuat sebarang permohonan.

Tambahnya, bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini boleh membuat pendaftaran secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu ini, sebahagian daripada kalangan PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula”

“PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 30 Jun 2021” katanya.

Peruntukan GKP 4.0 ialah sebanyak RM1 bilion dan bayaran akan dibuat pada masing-masing RM500 pada September serta November 2021 melibatkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.1 bilion.

Loading...
Terkini