comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaftaran GISBH boleh dibatal jika terbukti langgar peraturan – KPDN

Datuk Armizan Mohd Ali. – FOTO: NSTP

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh membatalkan pendaftaran GISB Holdings (GISBH) sekiranya syarikat itu terbukti serta disabitkan kesalahan atas aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan semasa.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan ke atas GISBH dikendalikan di peringkat KPDN terkait kawal selia di bawah Akta Syarikat 1965, dengan ketika ini pihaknya masih menyemak semua pendaftaran syarikat induk bernaung di bawah GISB serta anak syarikatnya.

Menurutnya, semakan dibuat antaranya termasuk aspek pematuhan GISBH kepada penghantaran laporan tahunan, penyata kewangan dan sebagainya.

“KPDN menerusi Suruhanjaya Syarikat (SSM) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pada peringkat ini, siasatan utama dilakukan PDRM dan kita melihat aspek pematuhan kepada undang-undang di bawah syarikat… kita bekerjasama rapat dengan PDRM untuk melengkapkan siasatan, membantu dalam apa-apa perkara terkait akta di bawah bidang kuasa SSM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Menara SSM Perak di Jalan Basco, Kepayang dekat Sungai Senam, di sini yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh dilapor berkata SSM sudah memulakan semakan terhadap pematuhan perniagaan GISBH, di mana Bahagian Pematuhan SSM sudah melaksanakan semakan dan akan membuka kertas siasatan.

Dalam pada itu, Armizan mengakui ada cubaan pihak GISBH untuk melindungi premis mereka daripada siasatan pihak berkuasa.

Antara tindakan diambil, katanya termasuk menanggalkan serta menukar papan tanda premis menjadi nama syarikat lain seperti yang berlaku di Ipoh serta di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata KPDN juga menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau produk perniagaan GISBH yang dipasarkan melalui platform media sosial.

“Bagaimanapun setakat ini, KPDN tiada menerima laporan mengenai kesalahan itu dari aspek perihal dagangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini