comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaftaran Percuma SSMBizTrust Dilanjutkan Hingga Disember 2021

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melanjutkan tempoh pendaftaran secara percuma SSM BizTrust sehingga Disember 2021 dalam usaha mendokong pertumbuhan sektor perniagaan atas talian di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu seiring dengan perubahan trend urusniaga peruncitan yang kini banyak beralih kepada perniagaan dalam talian.

“Ini juga jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memudahkan urusan perniagaan di negara ini.

“Ia seterusnya boleh membantu kita memulih dan memperkasa ekonomi domestik, terutama menjelang fasa pasca COVID-19, termasuk meningkatkan kuasa beli dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu turut mengambil kira perkembangan bidang teknologi dan perniagaan e-Dagang di negara ini, selain kesedaran masyarakat terhadap norma baru kehidupan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Peningkatan 35% transaksi atas talian dan 53% peningkatan pengguna transaksi atas talian memerlukan satu mekanisma dan undang-undang untuk melindungi pengguna yang menjalankan urusniaga itu.

“Justeru, KPDNHEP melalui SSM memperkenalkan SSM BizTrust sebagai simbol pengiktirafan dan piawaian kualiti entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM, dengan syarat entiti terbabit mematuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, peniaga dalam talian yang layak dan berjaya memperolehi pensijilan SSM BizTrust akan dapat memaparkan logo SSM BizTrust pada laman sesawang, media sosial dan blog perniagaan mereka.

“Pelanjutan tempoh pendaftaran percuma ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membantu meningkatkan ekosistem perniagaan atas talian yang sihat dan beretika.

“Ini tentunya meyakinkan pengguna untuk melakukan urusniaga bersama entiti perniagaan terbabit, sekali gus membantu melindungi pengguna dari penipuan urusniaga atas talian mahupun secara fizikal,” katanya.

Sehingga 31 Oktober  2020, sebanyak 4,181 entiti perniagaan atas talian sudah berdaftar dengan SSM BizTrust, dengan 629 daripadanya didaftarkan sepanjang tahun ini.

Pendaftaran SSM BizTrust boleh dibuat melalui portal https://biztrust.ssm.com.my/

Loading...
Terkini