comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaki meninggal dunia di Gunung Yong Balar

FOTO: JBPM

GUA MUSANG: Seorang pendaki meninggal dunia di Gunung Yong Balar di sini semalam, selepas dikatakan mengalami simptom keletihan dan muntah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, difahamkan kumpulan pendaki seramai tujuh orang bersama seorang malim gunung itu mula mendaki sejak 16 September lalu.

Katanya, selepas empat hari mendaki, malim gunung membawa seorang peserta keluar dan keesokannya dua lagi pendaki keluar dari kawasan itu.

“Makluman daripada pendaki yang keluar pada hari kelima, mangsa yang juga lelaki berusia 37 tahun sudah menunjukkan tanda-tanda tidak mahu makan dan muntah.

“Malim gunung masuk kembali bersama seorang lagi pendaki untuk mencari tiga lagi rakannya termasuk mangsa.

“Selepas dua jam setengah perjalanan, mereka bertemu mangsa dalam keadaan separuh sedar dan rakannya dalam keadaan kelaparan kerana kehabisan bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Nor Azizi berkata, malim gunung mengendong mangsa menggunakan ‘sleeping bag’ untuk turun namun hanya mampu setengah jam sahaja sebelum mereka berhenti rehat.

Katanya, malim gunung berkenaan kemudian meninggalkan mangsa bersama rakan apabila dimaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba kira-kira jam 5 petang.

“Dalam usaha masuk ke lokasi mangsa berada, pasukan SAR bersama malim gunung berkenaan tersasar sebanyak dua kali dari trek menyebabkan mereka gagal sampai dan terpaksa berpatah balik.

“Dalam masa yang sama malim gunung dihubungi melalui radio peserta yang berada bersama mangsa memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Pasukan SAR yang masuk semula mencari mangsa dan rakannya dan berjaya sampai di lokasi kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Beliau berkata mangsa bersama pendaki lain berjaya dibawa keluar pada jam 2 pagi dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Gua Musang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini