Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden menghina peniaga teh oleh seorang pendakwah terkenal yang berlaku di Indonesia adalah menginsafkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau berasa pelik kerana penghinaan itu dilakukan oleh individu yang memahami hal berkaitan agama.
“Sikap angkuh dan sombong itu kadang-kadang bukan sahaja dalam kalangan (mereka) tidak tahu agama, tidak semestinya. Orang yang faham agama yang sering bincang tentang Islam, akidah, solat dan (amalan) sunat tetapi bila timbul keadaan begitu, dia boleh menghina.
“Saya lihat (video) saya rasa aneh dan luar biasa, tetapi bagi saya pengajarannya menginsafkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Sebelum ini tular sebuah klip video berhubung cercaan oleh pendakwah, Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah.
Utusan Khusus Presiden Bidang Kerukunan Beragama dan Pembinaan Sarana Keagamaan itu dilihat menghina peniaga teh yang kebetulan menjual air minuman ketika berceramah di Magelang, wilayah Jawa Tengah pada 20 November lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menerima klip video tersebut yang dikirim oleh rakannya dari negara seberang itu.
“Ia (video) jadi viral dan penghinaan kepada orang yang jual teh yang mana di antara paling miskin, mereka ini pendakwah, (penghinaan) dengan ketawa.
“Ia mendapat perhatian menyeluruh daripada rakyat sehingga Presiden Prabowo Subianto memberikan kenyataan yang amat keras dan akhirnya kiai (pendakwah) itu berkunjung ke daerah penjaja itu dan memohon maaf,” katanya.
Prabowo dilaporkan menegur serta mengingatkan pendakwah terbabit supaya jangan mudah menghina golongan bawahan.
Dalam perkembangan lain, Anwar mahu majlis ilmu berkaitan teknologi digital dan perbankan dianjurkan Perbendaharaan sebulan sekali.
Jelasnya, ia bagi mengangkat keupayaan dan ilmu yang boleh membantu dalam urusan kerja.