LABUAN: Kadar pendaratan penyu karah di sekitar pantai di Taman Laut Labuan menunjukkan peningkatan dengan sekurang-kurangnya 19 penyu itu direkodkan mendarat sejak Januari lalu hingga bulan ini.
Pengarah Perikanan Labuan Sufian Ahmad berkata, penyu terbabit mengeluarkan 2,562 telur dengan kawasan sarang popular ialah Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman.
“Daripada 2,562 telur itu, sebanyak 1,423 sudah menetas dan anak penyu terbabit dilepaskan ke laut.
“Walaupun terdapat pelbagai aktiviti laut di sekitar kawasan pulau di Taman Laut Labuan, kami masih memantau aktiviti pendaratan penyu sepanjang tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, pantai di kawasan berkenaan menjadi habitat bagi penyu hijau atau agar dan penyu karah, namun pada tahun ini hanya penyu karah ditemukan mendarat.
Sufian berkata, pada tahun lalu sebanyak 18 penyu karah direkodkan mendarat dan menghasilkan 2,137 telur dengan 1,883 anak penyu sudah dilepaskan ke laut.
“Pendaratan penyu ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya pantai di Labuan sebagai habitat utama bagi spesies terancam,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.