comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendekatan inklusif bentuk pelajar berwawasan

Alauddin (dua dari kiri) bersama Suhaimi (lima dari kanan) bersama pentadbir SMK Sungai Choh, Rawang dalam “Program Jom Datang Sekolah” sempena sesi persekolahan 2024 /2025. – FOTO: Ihsan SMK Sungai Choh

RAWANG: Pelbagai inisiatif ditampilkan pihak pentadbir yang juga didokong guru-guru bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif dapat diwujudkan.

Hari ini tiba giliran lebih 3.5 juta murid dan pelajar terdiri daripada kumpulan B membabitkan baki 12 negeri memulakan persekolahan sesi  2024/2025.

Sememangnya hari pertama penting dalam menyusun langkah untuk menempa hari-hari yang lebih gemilang sebagaimana yang menjadi amalan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Choh, Rawang, Selangor.

Program “Jom Datang Sekolah” yang menjadi amalan tradisi menyaksikan kemesraan pentadbir dan kaunselor mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan pelajar ke sekolah.

Ibu bapa (barisan belakang) turut hadir memberi sokongan pada sesi persekolahan 2024/2025. – FOTO: Ihsan SMK Sungai Choh

Turut turun padang menyempurnakan program amalan guru penyayang ini, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Trafik, IPD Hulu Selangor, Inspektor Alauddin Salehudin.

Selaku pegawai perhubungan sekolah, beliau berkongsi realiti dunia luar dalam membentuk pelajar berwawasan.

Antara amanat beliau agar pelajar menjauhkan sikap buli, budaya samseng, sentiasa menghormati guru dan berusaha menunaikan harapan ibu bapa untuk bergelar pelajar cemerlang.

Ke arah itu disiplin menjadi keutamaan bukan sahaja mematuhi peraturan sekolah dan peraturan jalanraya bagi yang berkenderaan.

“Harapan kami di SMK Sungai Choh semoga hari ini permulaan yang baik dalam menunaikan amanah untuk  membentuk pelajar yang berwawasan, bukan sahaja cemerlang mengharumkan nama sekolah malah membanggakan ibu bapa seterusnya berbakti kepada negara,” kata pengetua SMK Sungai Choh, Mohd Suhaimi Abdullah.

Pada hari pertama sesi persekolahan satu sesi ini, SMK Sungai Choh mencatat kehadiran 854 pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini