
Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor adalah hasil persiapan rapi dan kerjasama erat parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan pengundi dan menangkis asakan Perikatan Nasional (PN).
Beberapa penganalisis politik berpendapat pendekatan yang diguna jentera PH dan BN sehingga dapat mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, boleh dijadikan acuan untuk berdepan PN pada pilihanraya akan datang.
Prof. Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan hasil pilihan pengundi itu sekali gus akan mendorong kedua-dua gabungan parti berkenaan untuk terus meminimumkan perselisihan sesama mereka demi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
“Penerimaan ini boleh dijadikan indikator bagaimana ia boleh menelusuri pembaharuan juga perubahan yang ingin mereka lakukan di peringkat kepimpinan, pertengahan termasuk akar umbi agar keputusan yang lebih baik dapat dirasai di negeri lain,” katanya kepada Buletin TV3.
Dalam pada itu, cerapan dan pemerhatian pusat penyelidikan bebas Ilham Centre mendapati faktor kesetiaan pengundi PH dan sokongan pengundi BN, menyumbang kepada kemenangan dengan majoriti selesa 3,514 undi, calon PH Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram.

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata undi yang diperolehi oleh penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dapat dikekalkan dengan momentum sama.
Tambahnya, segmen pengundi bukan melayu memberi kelebihan besar kepada Nazri untuk menyingkirkan dua calon lain.
“Perpindahan undi yang disumbangkan oleh penyokong BN khususnya UMNO lebih tinggi berbanding jumlah undi diterima calon PH di enam Pilihan Raya Negeri yang lalu. Perpindahan undi itulah yang memberikan kelebihan kepada Nazri untuk menang,”jelasnya.

Professor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail pula merumuskan keputusan PRK Johor Sabtu lalu, sebagai perintis jalan untuk PH- dan BN memantapkan kerjasama yang dijalin November lalu.
“Kemenangan satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN sudah pasti akan mengekalkan kesinambungan atau status quo Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri. Menerusi kejayaan ini saya kira kerjasama PH-BN boleh memikirkan strategi terbaik bagaimana untuk terus memperkasa kerjasama antara mereka,” jelas beliau.
Keputusan rasmi PRK menyaksikan calon PH, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker Dun Johor menang selesa dengan meraih 48,283 undi.
Jumlah itu jauh mengatasi pesaingnya calon PN, Zulkifli Jaafar yang memperolehi 29,642 undi dan calon bebas, Samsudin Mohamad (528 undi).
Bagi PRK Dun Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abdul Rahman berjaya memperoleh 13,844 undi.
Beliau mengalahkan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN yang mendapat 10,330 undi manakala calon bebas, S Jeganathan hanya 311 undi.