comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendirian Kerajaan jelas, tidak menerima LGBT – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan pendirian Kerajaan tetap kekal tidak menerima sebarang usaha atau mempromosikan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Justeru katanya, beliau berharap sebarang usaha ke arah mempromosikannya perlu dihentikan.

“Daripada sudut pendirian dan pandangan Kerajaan jelas. Di bawah Perlembagaan juga jelas bahawa kita tidak menerima amalan LGBT. Sebarang usaha ke arah mempromosikannya saya harap daripada sudut agama kita kena hentikannya.

“Kita mahu melahirkan masyarakat yang tenang dan sedia ada ini menghormati undang-undang, budaya dan agama negara kita.

“Daripada sudut pandangan hal ehwal agama kita memang tak boleh menerima (amalan LGBT),” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, LGBT adalah bertentangan bukan saja daripada sudut agama tetapi daripada budaya di Malaysia dan sebarang penganjuran yang dibuat turut menyelitkan promosi budaya itu perlu dihentikan untuk menghormati agama dan budaya yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran perhimpunan sempena Hari Wanita yang diadakan di ibu kota, Jumaat lalu yang didakwa ia turut disertai pejuang LGBT yang secara tidak langsung menunjukkan komuniti itu dilihat semakin berani ke depan.

Mohd Na’im berkata, mengenai perhimpunan berkenaan beliau menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Saya percaya ada laporan polis yang sudah dibuat terhadap perhimpunan berkenaan.

“Jadi saya serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan secara adil kemudian membuat tindakan daripada siasatan yang sudah dibuat itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini