Tumpuan :
Nasional

Penduduk 4 kampung di Kuala Krai terperangkap, jambatan ditenggelami air

Jambatan Pasir Jering ditenggelami air akibat limpahan Sungai Nal. – Foto ihsan penduduk

KUALA KRAI: Lebih 500 penduduk di empat kampung di daerah ini kini terputus hubungan apabila Jambatan Pasir Jering ditenggelami air mencecah enam meter (m) susulan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu.

Empat kampung berkenaan ialah Kampung Dusun Ban, Kampung Pasir Jering, Kampung Batu Pagar dan Kampung Dusun Bunut.

Penduduk Kampung Pasir Jering, Mohd Saidi Jaafar, 57, berkata hujan lebat tanpa henti menyebabkan air Sungai Nal melimpah sehingga menenggelami jambatan besi sepanjang hampir 40m itu.

“Lazimnya, Jambatan Pasir Jering akan menjadi antara yang terawal ditenggelami air disebabkan kedudukannya yang terlalu rendah dari tebing sungai. Ia akan berlaku beberapa kali setiap tahun.

“Ini kerana apabila hujan lebat berterusan, paras air sungai akan meningkat secara mendadak,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan, jambatan itu adalah laluan penghubung utama untuk penduduk ke bandar Kuala Krai.

“Kini, kami semua terperangkap kerana jalan keluar masuk sudah dipenuhi air. Melihat keadaan hujan lebat dan trend paras air sungai yang semakin meningkat, igauan ngeri peristiwa ‘bah kuning’ pada 2014 kembali menghantui penduduk.

“Namun, saya berharap tidak berulang kejadian banjir besar sebagaimana 10 tahun lalu yang menyebabkan banyak rumah penduduk mengalami kerosakan dan musnah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini