comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Batu Bertangkup pula diserang gangguan ketukan

Fatin Adilla Rosli menunjukkan bahagian tingkap biliknya yang didakwa diketuk pada awal pagi Jumaat lalu. FOTO: NSTP

PADANG BESAR: Belum pun reda gangguan ketukan misteri yang dialami penduduk di Kuala Pilah, Sabak Bernam dan Jerantut kini penduduk Kampung Baru Lubuk Machang di Batu Bertangkup, Chuping di sini pula mengalami gangguan yang sama.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu antara jam 2.20 pagi hingga 4.30 pagi.

Berdasarkan laporan awal, hampir 30 buah rumah di sekitar kampung berkenaan mengalami gangguan itu.

Insiden baharu pertama kali berlaku di kampung itu dan pantas menimbulkan rasa resah dalam kalangan penduduknya.

Seorang penduduk, Fatin Adilla Rosli, 31, berkata kejadian ketukan misteri itu berlaku sekitar jam 2.30 pagi di kediamannya di kampung itu.

“Sebelum itu, saya baharu sahaja pulang dari Kuala Perlis bertemu dengan kawan dan saya sedang berehat sementara menunggu untuk mandi.”

“Bapa pula sudah pun masuk tidur manakala ibu saya menemani saya berehat di ruang tamu dan ketika saya sedang menguruskan keperluan ibu saya, tiba-tiba terdengar ketukan kuat di tingkap bilik saya sebanyak dua kali.”

“Tidak mahu mengambil risiko, saya takut untuk membuka tingkap jadi saya membiarkan sahaja kerana gangguan itu pun berlaku sekejap sahaja. Tidak sampai lima minit pun,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Lubuk Machang di sini hari ini.

Mohammad Zalghafari Mohd Zainuddin menunjukkan tingkap bilik di kediamannya di Kampung Baru Lubuk Machang yang didakwa diketuk pada awal pagi Jumaat lalu. FOTO: NSTP

Seorang lagi penduduk, Mohammad Zalghafari Mohd Zainuddin, 25, mendakwa gangguan ketukan misteri itu berlaku di kediaman keluarganya sekitar jam 2.45 pagi.

“Saya sampai di rumah sekitar jam 2 pagi kerana sebelum itu keluar atas urusan peribadi dan tatkala saya baharu sahaja hendak tidur, terdengar ketukan pada tingkap bilik saya.”

“Ketukan kuat itu berlaku sebanyak tiga kali dan menyangka ada pencuri yang cuba untuk memasuki rumah, saya segera menyelak langsir yang menutupi jendela itu namun tiada sebarang kelibat pun ditemui di luar rumah,” katanya.

Mohammad Zalghafari turut keluar dari rumahnya untuk meninjau sekiranya ada kelibat pencuri yang cuba memasuki kediamannya namun tiada sesiapa pun ditemui sekitar rumahnya itu.

Kedua-dua penduduk itu kemudian dimaklumkan menerusi aplikasi kumpulan ‘whatsapp’ kampung berkenaan mengenai banyak lagi rumah di kampung itu yang turut mengalami gangguan ketukan misteri itu.

Sebagai langkah keselamatan, penduduk meminta bantuan polis untuk meronda sekitar kawasan kampung dalam memastikan tiada berlaku sebarang kejadian seperti kecurian dan sebagainya.

Difahamkan gangguan itu hanya berlaku pada hari berkenaan dan tidak berlaku lagi selepas itu namun ia dikatakan merebak hingga ke Arau sehingga tular dakwaan bahawa beberapa kawasan perumahan dan kampung turut mengalami gangguan yang sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini