comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk berjalan 50km ke pekan

FOTO: NSTP

KOTA MARUDU: Hampir sebulan tidak keluar pekan, penduduk Kampung Sonsogon Magandai, kira-kira 70 kilometer dari sini, kembali mengharungi perjalanan cukup jauh dan melelahkan selama dua hari.

Perjalanan mereka ke pekan kali ini berbeza berbanding sebelumnya apabila keadaan jalan dari perkampungan itu sedikit kering selepas tiada hujan hampir seminggu.

Berbekalkan semangat serta kekuatan mental, penduduk terbabit, terutama wanita dan kanak-kanak berjalan kaki ke destinasi dituju.

Suanie Din, 37, berkata, mereka memulakan perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai dengan menumpang kenderaan pacuan empat roda seorang penduduk.

FOTO: NSTP

“Bagaimanapun, ketika kenderaan cuba melepasi laluan sukar dalam keadaan jalan rosak berhampiran Kampung Sonsogon Suyad, ia rosak.

“Kami tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa menumpang tidur di rumah saudara di perkampungan berhampiran kerana hari sudah gelap,” katanya menambah, jika terus berjalan kaki dalam gelap, mereka terdedah kepada ancaman serangan haiwan buas.

Mereka yang turut membawa bekalan makanan sebagai pengalas perut sepanjang perjalanan, memulakan perjalanan jam 6 pagi untuk memastikan sampai di pekan sebelum lewat petang.

Hanya berhenti rehat seketika di tengah perjalanan dan makan bekalan yang dibawa dari rumah untuk menambah tenaga.

Suanie berkata, mereka ke pekan kerana masing-masing mempunyai keperluan penting, terutama ingin mengurus persekolahan anak atau membawa anak-anak di pekan pulang kampung sempena cuti sekolah.

“Selepas bermalam di rumah saudara mara, kami meneruskan perjalanan keesokannya dengan berjalan kaki menghabiskan jarak lebih 50 kilometer.

“Kami bersama-sama anak sepakat berjalan kaki menuju pekan, walaupun sedar mereka akan lelah menempuh perjalanan jauh. Syukur kami semua berjaya menamatkan perjalanan jauh dengan hanya berjalan kaki,” katanya kepada Berita Harian.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, mereka akan sampai pekan Kota Marudu dalam tempoh enam hingga lapan jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Namun, kenderaan yang kami tumpang rosak sebelum separuh perjalanan, menyebabkan perjalanan menjadi cukup panjang iaitu dua hari,” katanya.

Tambahnya, ia pengalaman berharga sukar dilupakan walaupun jalan di perkampungan mereka nanti dinaik taraf kelak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini