Tumpuan :
Nasional

Penduduk bersyukur terima PPS baharu, tidak perlu lari atas bukit bila banjir

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Gua Musang mengambil inisiatif membina tiga PPS baharu masing-masing Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh untuk kegunaan penduduk terjejas banjir. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Pengalaman pahit banjir 2014 yang memaksa penduduk berpindah ke atas bukit kerana tidak mempunyai pusat pemindahan sementara (PPS) tidak mungkin dilupakan penduduk Kampung Baru 6.

Justeru Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Gua Musang, mengambil inisiatif membina tiga PPS baharu masing-masing Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh untuk kegunaan penduduk terjejas banjir.

Menurut salah seorang penduduk, Mohd Asri Mustapha, 51, berkata setiap tahun dia bersama keluarga terpaksa berpindah ke atas bukit apabila rumah dinaiki air.

Katanya, setiap tahun Kampung Batu 6 dan Batu 7 akan terputus hubungan apabila jambatan besi yang menjadi laluan utama penduduk keluar daripada perkampungan itu ditenggelami air.

“Persiapan kami untuk menghadapi banjir setiap tahun lebih kepada menyimpan stok makan kering kerana selain rumah dinaiki air, jambatan juga tenggelam menyebabkan kami tidak boleh keluar.

FOTO: NSTP

“Kampung kami memang setiap tahun dilanda banjir pada musim tengkujuh akibat limpahan air Sungai Galas dan sebelum ini kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri berpindah ke atas kawasan bukit.

“Namun tahun ini kami bersyukur apabila sudah disediakan PPS di Kampung Batu 6 yang sudah dilengkapi dengan bahan makan dan pelbagai kemudahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, di sini.

Manakala bagi penduduk Kampung Batu 5, Kua Eh Say, 60, berkata, mereka bersyukur apabila pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang membina premis PPS yang lengkap dengan ruangan memasak dan tandas.

Katanya, lokasi PPS yang dibina berada di kawasan tinggi dan bebas banjir.

“Sebelum ini sekiranya kampung dilanda banjir, kami masing-masing membawa diri ke tempat selamat di atas bukit dan berlindung di pondok dalam kebun getah.

“Golongan tua yang uzur bermasalah apabila terpaksa tinggal dalam kawasan kebun getah selama beberapa hari. Setiap tahun kira-kira 16 buah rumah di kawasan ini akan dilanda banjir dan memberi kesan trauma kepada pemiliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKOB daerah Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, sebanyak tiga PPS baharu telah dibina tahun ini iaitu di Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan RKT Kesedar Jeram Tekoh.

Menurutnya, sebanyak 56 PPS disediakan dan sudah dilengkapi dengan pelbagai barangan keperluan mangsa banjir.

Terdahulu media melaporkan hampir 19 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan dijangka mengalami banjir bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi pada 5 Disember lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini