comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk bertungkus lumus simpan air

BAYAN LEPAS: Penduduk Flat Taman Sahabat di Teluk Kumbar, di sini, bertungkus lumus menyimpan simpanan air apabila kawasan perumahan mereka dikatakan mengalami tekanan air rendah sejak dua hari lalu walaupun gangguan bekalan air dijadualkan bermula Rabu ini.

Syaripuddin Abd Rahman, 47, mendakwa masalah itu dihadapi penduduk di tingkat tiga dan empat, namun ada sebahagian yang berada di aras dua turut mengalaminya.

Penjaja makanan itu mendakwa dua tangki besar di flat berkenaan tidak berfungsi, menyebabkan mereka menggunakan air dari paip yang disalurkan ke rumah.

“Masalah bekalan air berlaku setiap minggu, terutama pagi hingga tengah hari, dan adakala hingga jam 8 malam barulah air kembali normal.

“Air yang keluar dari paip sangat perlahan, kadang-kadang setitik pun tidak ada,” dakwanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Jamaliah Yusoff, 51, menggunakan pelbagai bekas termasuk botol sabun yang dicuci bersih bagi menyimpan air.

Katanya, persediaan menyimpan air dilakukan sejak gangguan bekalan air selama enam hari pada bulan lalu.

“Ini bukan masalah baharu dan sudah habis kudrat kami bagi mengangkut dan menyimpan air susulan gangguan bekalan bakal menjelang,” katanya yang tinggal bersama empat lagi ahli keluarga.

Tinjauan di flat berkenaan mendapati kebanyakan penduduk sudah menyimpan air di dalam pelbagai tong dan bekas di kaki lima.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, berkata pihaknya sudah menyediakan dua tangki besar di penempatan itu termasuk tangki air bergerak sepanjang tempoh gangguan bekalan kali ini.

“Kita usahakan inisiatif ini walaupun tidak semua tempat dapat kita sediakan (tangki air),” katanya ketika dihubungi, di sini.

Loading...
Terkini