comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk di 100 Kawasan di Johor Bahru Terjejas Bekalan Air

JOHOR BAHRU: Penduduk di kira-kira 100 kawasan dalam 10 zon di daerah ini dan satu kawasan di Kota Tinggi, berdepan gangguan bekalan air tidak terancang sejak malam tadi, susulan loji rawatan air (LRA) Sungai Johor terpaksa dihenti tugas akibat terputus bekalan elektrik.

Syarikat Air Johor, Ranhill SAJ, berkata pemeriksaan kerosakan kabel dilakukan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Katanya, berlaku kerosakan kabel elektrik ke ‘incoming transformers’ LRA Sungai Johor, sekali gus menyebabkan henti tugas sementara sejak petang semalam.

“Pengguna disaran membuat simpanan air secukupnya dan sebarang pemakluman berkaitan insiden ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan maklumat pemberitahuan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Ranhill SAJ semalam, 10 zon terjejas adalah Tiram, Austin, Tebrau, Kempas, Skudai, Tampoi, Perling dan Bukit Indah, Iskandar Puteri serta Stulang membabitkan kira-kira 104 kawasan, manakala zon Kota Tinggi yang turut terjejas membabitkan kawasan Taman Sri Saujana.

Tinjauan ke ruangan komen di Facebook mendapati kebanyakan pengguna kesal atas gangguan bekalan air itu kerana berpendapat pihak Ranhill SAJ tidak menyediakan pelan kecemasan menghadapi insiden seumpama itu.

“Caj air tinggi, tetapi ‘backup’ generator tidak ada. Macam mana anda rancang masa kecemasan seperti ini? Mana pergi duit sampai tidak mampu buat ‘backup’ generator?” kata seorang pengguna.

Sementara itu, ramai juga pengguna yang tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan jangkaan bekalan air akan kembali pulih, sekali gus menyulitkan urusan harian terutama yang mempunyai anak kecil, warga emas dan menyukarkan lelaki beragama Islam bersiap menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, pengguna turut berharap TNB dapat menjalankan kerja pembaikan dengan segera supaya bekalan air kembali pulih.

“Rumah kawasan Larkin tiada air. TNB belum siap baiki lagikah? Suami, anak-anak lelaki nak mandi, makan, nak pergi solat Jumaat pun susah.

“Besar sangatkah kabel elektrik yang sedang baiki itu? TNB tolong bantu Ranhill SAJ segera baiki, kalau tak ada elektrik satu rumah tak apa, ini kacau elektrik loji air, satu Johor tiada air,” luahnya.- Berita Harian

Loading...
Terkini