comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa kawasan di Kelantan dijangka banjir, penduduk diminta waspada

Penduduk di kawasan terbabit diminta berwaspada, peka dengan arahan pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR: Beberapa daerah di Kelantan dijangka dilanda banjir bermula Ahad hingga Isnin ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, ramalan awal banjir tersebut dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia) semalam.

Daerah yang terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Menurut JPS ia membabitkan lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Gali, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak di daerah-daerah berkenaan.

JPS turut memaklumkan, banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangka dan penduduk di kawasan terbabit diminta berwaspada, peka dengan arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicInfoBanjir

“JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir monsun sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai tersebut,” menurut jabatan itu.

Dalam pada itu, METMalaysia juga mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan di seluruh Terengganu, bermula hari ini hingga Isnin.

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dijangka di beberapa kawasan di Pahang, Johor, Perlis, Kedah dan Perak.

Loading...
Terkini