comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk gesa kerajaan buka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian

PADANG BESAR: Penduduk meminta kerajaan membuka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand untuk merancakkan kembali sosioekonomi masyarakat setempat selepas tujuh tahun ditutup.

Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Md Razak Daud berkata Zon Aliran Bebas itu ditutup sejak 1 April 2015 susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu.

“Sebelum ditutup kawasan ini menjadi tarikan dan tumpuan untuk ke negara jiran berbanding di Padang Besar. Seawal 4 pagi lagi kira-kira 40 bas akan berkumpul untuk ke seberang. “Namun selepas sempadan ditutup, warga tempatan tidak lagi boleh ‘cari makan’ seperti berniaga dan kini kebanyakan mereka hanya bekerja sebagai penoreh getah, petani dan memungut hasil hutan,” katanya ketika ditemui.

Md Razak berkata pihaknya dimaklumkan bahawa faktor keselamatan menjadi punca utama sempadan itu ditutup kerana keadaan akan sukar dikawal jika banyak aktiviti keluar masuk berlaku di situ. “Sekiranya keselamatan yang menjadi masalah sepatutnya pihak berwajib perlu mewujudkan kawalan yang lebih ketat atau menambah anggota keselamatan bagi mengawal keadaan,” katanya.

Beliau berkata pihak berwajib juga boleh menetapkan hari tertentu seperti Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk peniaga menjual di situ kerana kawasan berkenaan akan dilawati ramai pelancong pada masa itu.

“Kalau boleh berniaga semula di tepi jalan itu lebih baik pakai khemah sahaja kerana orang Siam lebih suka membeli di tepi jalan berbanding pasar raya kerana di negara mereka juga sudah menjadi kebiasaan begitu,” katanya.

Sementara itu, bekas peniaga Kampung Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar, 47, berkata pihak kerajaan ada membuka sebuah arked di kawasan itu, namun harga yang diberikan kepada penduduk setempat adalah kira-kira RM800 hingga RM1,000 bagi sebuah kedai.

“Kami ini penduduk kampung mana nak ada wang sebanyak itu, matlamat arked dibina adalah untuk membantu ekonomi setempat tapi seolah-olah menindas pula. Kami diminta untuk menjual barangan tempatan tapi kalau sempadan tutup macam mana warga Thailand nak beli barang di sini? “Kalau nak mengharapkan pelancong dari Malaysia sudah tentu mereka mahu membeli barangan, makanan dan sebagainya dari negara seberang bukannya produk milik Malaysia kerana kawasan ini berada di sempadan, sewajarnya juallah barangan dari kedua-dua negara,” katanya ketika dihubungi.

Zunaidi berkata ketika kawasan itu rancak dengan aktiviti jual beli, beliau mampu meraih pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan dan kini hanya memperoleh RM300.

Pada September lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang membuka semula Zon Aliran Bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015. – BERNAMA

Loading...
Terkini