comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk gusar ancaman tanah runtuh

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUNCAK ALAM: Lebih 100 penduduk di perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam berdepan ancaman rumah roboh ekoran masalah pergerakan tanah sejak  2018.

Tidak cukup dengan itu, penduduk juga mendakwa cerun di lorong belakang Jalan Bestari 2/5… menunggu masa ‘melahap nyawa.’

Tinjauan yang dilakukan kru Aduan Rakyat,  dapat dilihat, kebanyakan dinding rumah di kawasan ini mula mengalami keretakan yang agak teruk.

Malah, ia turut memberi kesan kepada pagar hadapan dan kawasan belakang rumah mereka.

Pada awalnya, masalah ini hanya menjejaskan jalan raya di belakang rumah mereka, tetapi sejak hampir dua tahun lalu, rumah mereka pula menerima kesan.

Malah, menurut salah seorang penduduk, Addylly Faisal Ramli, 49 tahun, dia terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit bagi membaiki rumah yang semakin hari semakin teruk.

“Jika nak bercakap mengenai baik pulih rumah ini, macam-macam dah kami baiki. Tapi yang major sekali, kami dah keluarkan wang sendiri dalam anggaran RM15,000 ke RM30,000.

“Macam-macam dah kami baiki, macam jubin-jubin di atas tu kami terpaksa runtuhkan, sebab takut jatuh di atas kepala.” katanya

Lebih teruk, ada lubang kumbahan rumah mula pecah akibat dari pergerakan tanah tersebut. Keadaan itu sekaligus mendatangkan kebimbangan kepada penghuni perumahan terbabit.

Apa yang menakutkan penghuni perumahan terbabit, jika berlaku tanah runtuh lebih-lebih lagi pada waktu hujan.

Mereka bimbang, insiden seperti yang terjadi di Taman Wawasan, Puchong, baru-baru ini bakal melanda mereka pula.

Kata Rahmah Idris, 74 tahun, oleh kerana biliknya turut mengalami keretakan, beliau takut untuk berada di dalam bilik tersebut, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Saya pun manusia biasa, perasaan takut itu mesti ada.”

Mohamad Nazam Saton, 51 tahun memberitahu yang beliau amat bimbangkan keselamatan keluarga dan jiran-jirannya, lebih-lebih lagi, ada keluarga yang tinggal bersama warga emas dan kanak-kanak.

“Ikutkan setiap masa perasaan bimbang itu sentiasa ada, sebab kita bimbangkan keluarga kita, jiran-jiran kita juga.”

“Perkara ini bukan perkara main-main. Kita tidak tahu bila-bila masa dia akan jadi. Lagi-lagi saya ini jarang ada di rumah. Jadi saya bimbangkan keluarga saya, anak-anak dan isteri saya.”

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Cendana, Mohd Kamal Mohd Kaus berkata, sebelum ini beberapa perjumpaan sudah diadakan bersama syarikat pemaju, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Namun, isu terbabit bagai tiada penyelesaiannya.

“Dari segi baik pulih persekitaran, fokus yang diberikan adalah kepada cerun. jadi action item itu memang ada dibincangkan. Alhamdulillah, ada sedikit sahaja daripada action item itu telah dilaksanakan.

“Tetapi yang dilaksanakan itu, hanya tahap maintenance sahaja, belum tahap corrective. Jadi walaupun ada, tetapi ia jauh dari mencukupi lah.”

Kru Aduan Rakyat telah pun membuat janji temu bersama Majlis Daerah Kuala Selangor bagi mendapatkan respon terkini mereka mengenai isu ini.

Loading...
Terkini